
Persatuan Siswa/i Islam Perubatan
Universiti Malaya
Login Form
| Isu Orang Kafir Baca Al Quran: Siri 2 |
| Written by admin |
|
Hadith Nabi saw menyatakan:- "Lenyapnya ilmu itu kerana lupa, dan rosaknya ilmu itu apabila yang membahaskan bukan dari ahlinya" Jika kita mahu memerhati sekeliling kita, kesihatan itu milik semua orang, tetapi adakah setiap orang itu layak untuk membahaskan kesihatan? Jika orang yang bukan ahli membahaskannya, nanti kita akan jumpa berbagai pendapat mengenainya. Saya pernah berbual dengan seorang yang mengidap penyakit batu karang. Kawannya berkata dengannya:- "Ubat batu karang ini senang aje, minum air sabut kelapa" Ketika dia membuat seperti apa yang disarankan, sakit tidak hilang, tambah sakit perut dan muntah-muntah pula. Semua kita ada kereta dan setiap orang ada pengalamannya sendiri mengenai kereta. Tetapi tidak semua orang layak untuk membetulkan kereta. Jika orang yang bukan ahlinya membetulkan kereta, itu yang jadi kes kereta terbakar kerana wiring yang dibuat tidak betul. Kita masih ingat sebuah kereta meletup kerana menggunakan tong gas memasak yang diubah suai untuk keguaan gas NGV. Kenapa perkara seperti di atas boleh terjadi? Kerana yang mengodehkan bukan dari ahlinya. Begitu juga dengan agama. Ia milik semua orang dan semua orang boleh mengamalkan agama. Tetapi apabila membahaskannya, sudah semestinya ia perlu dari ahlinya. Jika tidak, maka kita akan melihat orang yang membahaskan agama dengan pincang dan boleh mengelirukan. Kita berbalik pada isu orang kafir membaca al-potongan ayat Quran. Di dalam membahaskan isu ini, ada beberapa persoalan yang boleh dibangkitkan di dalamnya. Bagi orang kafir itu sendiri, boleh atau tidak? Pada saya ia terpulang kepada niat. Jika niatnya untuk lebih memaham Islam, ia tidak mengapa. Tetapi jika niatnya untuk memancing undi, ini tidak boleh. Niat pula soal hati. Tidak ada siapa yang tahu. Sebab itu, untuk mengesahkannya perlu ada gabungan pandangan ahli feqah dan pandangan ahli dakwah seperti yang kita bincang semalam. Pandangan ahli feqah yang keras akan menyentaknya. Nanti dia akan tahu bahawa ia bukan satu yang boleh dimain-mainkan. Dari kejutan keras para Mufti kepada YB DAP tempoh hari menyebabkan dia mengulas kembali bahawa tujuannya ialah untuk cuba mendekati Islam. Betul atau tidak, itu kita tidak tahu. Tapi, respons itu lahir dari sentakkan keras fatwa ahli feqah. Bagi ahli dakwah pula, ia memainkan peranan untuk menerangkan Islam hasil kecutnya hati mereka ini. Saya melihat, gabungan di antara kedua-dua fatwa ini amat baik. Cuba lihat rentetan peristiwa ini. YB DAP membaca al-Quran Fatwa Ahli Feqah yang keras YB DAP rasa tersentak dan mula mengatakan dia mahu memahami Islam Fatwa Ahli Dakwah datang dengan pujukan, "jika mahu memahami Islam maka begini dan begini…" Saya yakin, peristiwa ini bukan terjadi dengan kebetulan. Sengaja Allah jadikan peristiwa ini untuk orang kafir lebih terbina jembatan mendekati Islam. Mana tahu, satu hari nanti, orang Cina dan India yang berpolitik itu masuk Islam. Ini tidak mustahil. Seluruh dunia kebangkitan ini sedang berlaku. Ramai orang kafir telah mula kembali kepada Islam. Yang mengeruhkan keadaan ialah apabila ahli siyasah (ahli politik) yang tidak ada kefahaman Islam memainkan isu ini. Terjadilah sindiri menyindir dan kata mengata. Semalam saya terdengar satu sindiran, "Hah, Jumaat nanti biar orang cina kafir tu baca khutbah!" Yang mengata hati puas, yang dikata hati sakit, tetapi puas dan sakit tidak memberi keuntungan pada diri sendiri dan pada Islam. Jadi, dalam bab agama, lihat orang agama yang membahaskannya. Yang masih kurang, hati-hatilah di dalam mengulas. Agama bertujuan untuk mendekatkan kita pada Allah. Jika dengan membahaskan semakin jauh kita dengan Allah, semakin sombong kita, semakin memandang rendah orang lain, semakin tidak berakhlak, maknanya, cara kita bahas adalah tidak bertepatan. Platform parti tidak masuk ke kubur. Yang masuk adalah amalan. Sebab itu, jadikanlah platform parti itu ladang untuk amalan. Beramal untuk mendekatkan diri, keluarga, masyarakat, negara dan ummah pada Islam. Kita pasti akan ke bawah walau setinggi mana keduduakan kita hari ini. Amat malang orang yang pernah ke atas tidak lahir amalan. Ketika dia di bawah, amalan tidak banyak. Amat rugi golongan seperti ini. Betulkan niat, jika niat kita sama, pasti akan bertemu jua, jika tidak di dunia, insyaAllah di syurga. "Sekilas Itu Realiti, Realiti Itu Kehidupan" Al-Fakir Ila Rabbihi Muhamad bin Abdullah |