
Login Form
| Isu Chin Peng Pulang ke Malaysia |
| Written by bonot |
|
Isu membenarkan Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng pulang ke tanah air kembali hangat diperkatakan.
Berbagai pendapat diberikan. Ada yang bersetuju, ada yang tidak bersetuju dan tidak kurang juga yang bersetuju dengan bersyarat.
Saya ingin membahaskan perkara ini dengan melihat beberapa sudut.
1. Mari kita lihat contoh ketika orang Arab bertanyakan kepada Nabi mengenai arak dan juga judi. Turunlah ayat di dalam surah al-Baqarah ayat 219:-
"Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang arak dan judi. Katakanlah “pada keduanya itu terdapat keburukan besar dan beberapa manfaatbagi manusia, tetapi keburukan keduanya lebih besar dari manfaatnya”.
Di akhir siri ayat mengenai arak dan judi ini, maka Allah telah mengharamkan keduanya.
Mari kita lihat mengenai kepulangan Chin Ping ke tanah air. Kepulangannya ada kebaikan dan ada keburukan. Tetapi manakah yang lebih besar? Jika keburukan lebih besar, maka kepulangannya tidak wajar dibenarkan.
i. Secara peribadi, saya merasakan keburukan kepulangan Chin Peng lebih besar dari kebaikannya. Ini kerana, ia akan menyebabkan ramai pahlawan Negara yang berjuang cedera dan cacat terasa hati. Itu belum lagi bagi ahli keluarga yang kehilangan tempat mereka bergantung.
Kepulangannya seolah mengatakan dia tidak pernah melakukan apa-apa. Cuba bayangkan. Katakanlah ada seorang perogol di sebuah kampung. Dia telah merogol dan membunuh banyak orang. Beberapa tahun berlalu, ketua kampung bersetuju mengampunkannya dan melupakan apa yang dia buat. Pada ketika itu pun sudah tentu ada ahli keluarga mangsa yang terkilan.
Tidak lama selepas itu, ada cadangan dari beberapa ahli kariah yang ingin membawanya balik ke kampung. Apa perasaan ahli keluarga terhadap hal ini?
Kalau percaturannya mengikut hukum Islam, ia jelas. Tetapi pengamalan sekarang, ia sebaliknya.
ii. Keburukan seterusnya ialah, ketika perdamaian antara Negara dan Chin Peng, sudah tentu masih ada pengikutnya yang diketahui atau yang tidak diketahui berada di Negara ini. Bukankah akan menyebabkan imbauan perjuangan mereka hidup kembali . Jika tidak sepenuhnya, paling tidak, percikan bara itu serba sedikit akan mencetuskan api.
Percayalah, selagi mana seseorang pemimpin utama masih hidup, selagi itu bara perjuangannya masih ada. Cuba lihat beberapa contoh lain di Negara kita atau di Negara luar.
Hj. Kahar yang mengaku rasul contohnya, Ayah Pin, Khatijah dan seb againya.
Jadi, keburukan Chin Peng balik ke Negara lebih besar dari kebaikannya.
2. Jika dilihat dari sudut kepentingan umum dan kepentingan peribadi. Maka sudah tentu kita akan mendahulukan kepentingan umum.
Apa kepentingan Chin Peng untuk balik? Hanya sebagai menghabiskan hari tua di sini. Apa kepentingan umum yang perlu dijaga? Satu gurisan hati yang melihat anggota tentera yang cacat, yang mati dan yang hilang upaya.
Hajat seorang individu dan tentangan dari satu komuniti.
Sebagai manusia, sudah tentu individu yang pernah terlibat dan juga ahli keluarganya mempunyai perasaan sedih mengenangkan peristiwa yang telah berlaku.
Kita yang tidak pernah terlibat dengan peristiwa di zaman komunis mungkin tidak mempunyai apa-apa perasaan. Tetapi, rasa sembilu itu tetap ada walau pun kita cuba menafikannya secara ideal.
3. Mencegah kemudharatan lebih diutamakan
Jika kita ukur dari sudut keselamatan Negara dan Chin Peng sendiri di sini. Kita tak tahu apakah dia akan selamat atau tidak di sini. Begitu juga keadaan Negara, adakah tidak akan menimbulkan rusuhan atau tidak? Tidak mustahil jika ada bekas-bekas komando ketika zaman komunis dahulu yang datang membunuhnya dan orang di sekililingnya. Mungkin kita kata “ah.. tak mungkin kot”, tapi mustahilkah perkara ini?
Kegilaan seperti Prebet Adam yang pernah menembak ke sana dan sini di Kuala Lumpur dahulu tidak pernah disangka.
Peristiwa 13 Mei, tak pernah dijangka, peristiwa serangan balai polis oleh kumpulan guru Yahya tidak pernah dijangka.
Cuba lihat, amaran dari bahagian keselamatan mengenai ada cubaan menghidupkan kembali doktrin komunis. Mereka lebih tahu bidang mereka.
Bukankah ia memberi lebih kemudharatan dari kebaikan?
Dan yang paling utama sekali, apa untungnya kepulangan Chin Peng untuk Islam?
Apa pun, secara peribadi, isu kepulangan Chin Peng tidak perlulah dipanjangkan. Dahulukan apa yang lebih utama dan penting di dalam Negara ini. Masalah kemiskinan masih banyak terutama ketika seluruh dunia mengalami krisis ekonomi ini. Pembunuhan, ragut, curi rompak yang meningkat hasil dari masyarakat yang susah, di tambah kurangnya iman, patut diutamakan dari seronok memainkan isu.
Semoga Allah terus mengurniakan kepada Negara ini keamanan dan keselamatan. Sama ada berbentuk lahir maupun maknawi. Amin… "Sekilas Itu Realiti, Realiti Itu Kehidupan"
|